Tuesday, October 26, 2010

Memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah

GOMBAK - Pelajar sewajarnya tidak menghadkan bacaan kepada buku akademik sahaja tetapi perlu diperluaskan dan dipelbagaikan supaya ilmu sedia ada dapat diperkasakan.

Guru Penolong Kanan Kurikulum Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Salleh Ismail berkata, budaya membaca perlu dimantapkan agar masa yang terluang sentiasa diisi dengan pengetahuan dan tidak dibazirkan.

"Negara yang bertamadun bermula dengan budaya membaca yang unggul," katanya memberi dorongan kepada para pelajar sekolah itu ketika merasmikan Majlis Penutupan Bulan Nilamku Serlah Bahasaku Megah 2010 di sini baru-baru ini.

Sepanjang program tersebut pelbagai aktiviti diadakan seperti pertandingan bahas, pertandingan pidato, mencipta kain rentang dan pelajar yang membaca paling banyak buku serta Sudut Nilam antara kelas.

Program dianjurkan Panitia Bahasa Melayu dengan kerjasama pusat sumber sekolah.

Penyelaras Pusat Sumber, Durasni Abdullah memberitahu, program ini dirangka bagi menterjemahkan budaya membaca dalam kalangan pelajar di sekolah itu.

"Ilmu pengetahuan tidak akan berkembang selagi amalan budaya membaca tidak subur di hati pelajar," tegasnya.

Pelajar tingkatan empat, Nurul Nabihah Ahmad, 16, berpendapat, program yang diadakan berjaya meningkatkan keyakinan dirinya dan menjadi platform untuk menguji bakat serta kebolehannya.

"Hasilnya, saya berjaya menjadi Naib Johan dalam pertandingan Pidato Bestari 2010 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini," katanya girang.

Bagi Pembahas Bahasa Melayu sekolah itu, Azman Kholid, 17, aktiviti ini merupakan satu mekanisme penting dalam mempertingkatkan penguasaan bahasa dengan fasih dan berucap secara matang.

No comments:

Post a Comment